Sunday, September 19, 2010

Perkongsian: Yang kita perlu, dan yang kita nak.


Apa perbezaan perlu dan nak?
Nak itu datang dari kehendak diri kita. Sama ada benda itu kita perlu atau tidak, berguna buat kita atau tidak, apabila kita berkehendakkan sesuatu itu, maka kita akan berusaha ke arahnya.
Perlu pula berbeza. Perlu datang dengan kebaikan. Contoh: “Manusia perlu kepada oksigen”
Manusia boleh memilih untuk ‘tak nak’ kepada oksigen kerana oksigen bukan benda yang dia ‘nak’. Tapi itu akan membawa kehancuran kepadanya. Sebab, oksigen adalah satu benda yang ‘perlu’ buat manusia.
Jadi, saya nak mengajak diri saya dan pembaca semua berfikir panjang sikit hari ini.
Iaitu mengajak kita membina satu garisan, antara perkara yang kita perlu, dan perkara yang kita nak.
Dunia terbahagi kepada dua: Keperluan dan Kehendak
Adakah dunia semata-mata satu kehendak?
Tidak. Manusia perlu kepada dunia. Dunia adalah satu keperluan buat manusia. Mengapa?
Kerana dunia adalah modal akhirat buat manusia.
Namun dalam menjalani kehidupan di atas dunia ini, tetap ada perkara yang dinamakan keperluan, dan tetap ada yang sekadar kehendak semata-mata.
Manusia perlu kepada tempat tinggal. Tetapi tidak semestinya kepada rumah besar lagi mewah. Tidak dinafikan bagi sesetengah keluarga, mungkin keluarga yang besar, rumah besar itu perlu. Tetapi untuk selain golongan ini, lebih-lebih lagi yang hanya tinggal berdua, maka rumah besar lagi mewah itu adalah ‘kehendak’.
Manusia perlu kepada kenderaan. Kereta yang selesa. Tetapi tidak semestinya sampai 10 buah kereta. 10 buah kereta adalah kehendak.
Manusia perlu kepada makanan. Makanan yang berkhasiat. Tetapi tidak semestinya sampai 7 pinggan dan membantai semua lauk. 7 pinggan dan membelasah semua lauk adalah kehendak.
Sekolah perlu kepada peraturan. Tanpa peraturan, sekolah tidak akan berjalan lancar. Tetapi orang tak suka kepada peraturan. Maka mereka tak ikut peraturan. Tak nak ikut peraturan itu adalah ‘kehendak’.
Di sini kita perlu lihat.
Beza keperluan dan kehendak.
Jadi, sepatutnya, ke mana kita lorongkan kehendak kita?
Islam adalah satu keperluan
Satu perkara yang manusia terlepas pandang adalah, Islam merupakan satu keperluan di dalam kehidupan insan.
Percaya?
Ya, Islam telah menggariskan garisan-garisan yang jelas di dalam kehidupan sebagai peraturan. Kita dapat melihat apabila beberapa peraturan Islam dilanggar, maka kehidupan akan menadi kucar-kacir. Baik kehidupan individu, masyarakat, negara, mahupun dunia.
Islam dapat dilihat sebagai satu-satunya agama yang melekat kemas dan tepat dengan kehidupan manusia. Ini terbukti apabila Islam berjaya mengubah satu kaum arab jahiliyyah yang sangat rosak, menjadi kaum yang paling mulia di atas muka bumi. Ini terbukti lagi apabila Islam ini berjaya mencetus penemuan-penemuan baru di dalam medan ilmu bahkan meneraju kemajuan dunia pada awalnya.
Manusia, memerlukan Islam.
Tetapi, jika kita lihat, ‘kehendak’ kita tidak menghala ke sana.
‘Kehendak’ kita kata, kita akan terkongkong. Maka kita ‘nak’ bebas. Justeru kita ‘tak nak’ mengambil Islam secara sepenuhnya.
Islam adalah ibarat oksigen. Manusia perlu kepadanya. Tanpanya, manusia akan rosak dan menemui kehancuran. Oh ya, anda boleh melihat kehidupan sekeliling anda hari ini untuk menilainya. Oh, anda boleh juga baca surat khabar hari ini untuk membuktikan betapa suasana hari ini tanpa Islam yang sebenar ini.
Manusia ada pilihan. Untuk tidak menyedut oksigen. Dia ‘nak’ tak sedut oksigen.
Ok. Terpulang.
Tapi semua orang tahu apa pengakhiran buat mereka yang tidak menyedut oksigen.
Penutup: Allah itu memberikan kepada kita apa yang kita perlu, bukan apa yang kita nak
Jika perasan, Allah itu memberikan kepada kita apa yang kita perlukan. Bukan apa yang kita nak.
Kita nak hiburan banyak, kita nak lepak lebih, kita tak nak fikir jauh, kita tak mahu bersih, kita malas nak berdisiplin, kita suka cincai dan sebagainya. Allah tak bagi semua itu. Sebab Allah Maha Tahu itu semua membawa kepada kehancuran.
Tetapi Allah beri kita apa yang kita perlu. Islam, penuh kedisiplinan, penuh peraturan dan tatasusila, penuh adil dan saksama. Maka yang melaksanakannya, keperluannya terisi jiwa dan fizikal. Akhirnya kehidupannya mantap dan kemas, tenang dan selamat.
Begitulah seorang da’ie. Dia perlu bertindak seperti doktor.
Memberikan kepada masyarakat apa yang masyarakat perlu. Bukan memberikan masyarakat apa yang masyarakat nak.
Kalau doktor memberikan ubat mengikut kehendak pesakit, agak-agak apa yang akan terjadi?
Semua orang tahu endingnya.
Allah telah memberikan petunjuk ini.
Tidakkah kamu memerhati?

 semoga bermanfaat

terima kasih sudi datang dan baca di blog cik fieha ^^

0 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...