PENGENALAN
Bulan Syaaban adalah bulan kelapan menurut kiraan takwim Hijriyyah yang padanya mempunyai 28 hari. Syaaban bermaksud bercerai-berai. Dinamakan Syaaban kerana di dalam bulan ini masyarakat Arab pada ketika itu bertebaran ke merata-rata tempat untuk mencari air disebabkan kemarau yang berpanjangan.
Bulan Syaaban merupakan di antara bulan yang mulia dan mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan tertentu padanya. Padanya digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat sepertimana di bulan Ramadhan, Rejab, Muharam dll juga. Di samping itu juga bulan Syaaban ini adalah bulan untuk persediaan bagi menyambut ketibaan bulan Ramadhan.
Masyarakat Arab ada menggambarkan kemuliaan bulan Syaaban ini dengan beberapa huruf dan ertinya yang tersendiri antaranya:
01. Kemuliaan darjat Rasulullah S.A.W. di atas kurniaan bulan Syaaban kepadanya sehingga dinamakan bulan ini adalah bulan Nabi S.A.W.
02. Keperkasaan dan ketinggian.
03. Kebaikkan dan kebajikan yang dilakukan pada bulan ini akan mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah Taala.
04. Kasih-sayang dan kemesraan.
05. Cahaya keimanan dan cahaya ibadat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada hambaNya yang bertakwa.
ANTARA PERISTIWA DI BULAN SYAABAN
01. Berkata Imam Nawawi: Hari Nisfu Syaaban pada 15 haribulan tahun kedua Hijrah telah berlaku pertukaran kiblat umat Islam.
Iaitu dari Masjid al-Aqsa ke Kaabah di Masjid al-Haram.
02. Berlaku peperangan Bani Mustalik pada tahun kelima Hijrah. Kemenangan berpihak kepada Islam.
03. Berlaku peperangan Badar yang terakhir pada tahun keempat Hijrah.
ANTARA AMALAN DI BULAN SYAABAN
Memperbanyakkan puasa sunat.
Saidatina Aisyah berkata:
Aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W. menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana pada bulan Syaaban.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Saidatina Aisyah berkata:
Nabi Muhammad S.A.W. tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban dan baginda telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban. Dan adalah baginda bersabda: Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan (mewajib) kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W. adalah sembahyang (sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda apabila mendirikan sembahyang maka baginda sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Melazimi Berzikir dan Berdoa.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah.(Riwayat Baihaqi).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Doa merupakan otak kepada ibadat.(Riwayat at-Tarmizi).
Saidatina Aisyah berkata:
Adalah Rasulullah S.A.W. mengingati Allah (berzikir kepada Allah) setiap masa.(Riwayat Muslim).
Sentiasa Bertaubat dan Beristigfar.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.
(Surah an-Nur: ayat 31)
p/s;semoga bermanfaat
0 comments:
Post a Comment